Sabtu, 19 Januari 2013

Minyak Rambut

JIKA mahu menjaga kecantikan rambut, minyak antara sumber penting yang perlu ada. Barangkali ramai yang ragu-ragu atau ‘geli’ menggunakan minyak pada rambut, tetapi berzaman lamanya, minyak memiliki banyak manfaat kepada mahkota penting buat wanita mahupun lelaki itu.
Membasuh rambut dan menyapu minyak antara langkah perlu bagi membantu mengekalkan kesihatan serta kecantikan rambut secara semula jadi.

Terdapat pelbagai jenis minyak di pasaran menjelaskan manfaat setiap jenis minyak terbabit. Apa pun sebelum memilih untuk membeli jenis minyak diinginkan, pastikan anda membuat pemeriksaan terhadap syarikat yang menjualnya serta khasiat yang ditawarkan.

Memiliki minyak yang baik untuk rambut bagaimanapun masih belum mencukupi kerana ia juga harus disusuli dengan mengamalkan pengambilan makanan berkhasiat.

Elakkan mengambil makanan ringan, makanan di dalam tin atau makanan diproses kerana ia tidak membantu dalam melindungi rambut daripada kerosakan.

Untuk mendapatkan rambut yang cantik dan kuat, antara langkah boleh dilakukan adalah mengurut kulit kepala dengan minyak dan biarkan semalaman. Kemudian, gunakan tuala yang distim untuk menutup rambut selama setengah jam bagi melihat hasil yang baik.

Amalan langkah terbabit juga dapat membantu memiliki rambut berkilat dan berkilau dengan penjagaan rapi setiap hari.

Mungkin memakai minyak rambut setiap hari dianggap sukar oleh sesetengah individu. Jika anda mengalami situasi berkenaan, cuba lakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk memiliki rambut cantik.

Namun, ia tidak meninggalkan perbezaan ketara pada rambut dan seharusnya perlu diikuti dengan langkah mengurut bagi merangsang peredaran darah pada kulit kepala.

Minyak rambut yang dipakai bukan saja membantu melindungi rambut daripada sinaran ultraungu (UV) yang kuat dan panas, malah ia juga memberikan rambut tampak bersinar.

Sesetengah minyak yang popular dan mempunyai banyak khasiat sesuai digunakan untuk kecantikan rambut dengan kebaikan kualitinya.

Misalnya, minyak jojoba sesuai untuk rambut kering bagi membantu memberikan lembapan sempurna di samping membantu untuk melembutkan dan berfungsi meluruskan rambut. Lazimnya minyak ini perlu digunakan sebelum bersyampu.

Minyak zaitun pula dapat menguatkan dan menyuburkan rambut. Ia juga dapat membantu mengurangkan tekanan dan menggalakkan pertumbuhan rambut yang sihat.

Berbanding minyak kelapa yang dikatakan dapat membantu melicinkan rambut, ia turut mengandungi khasiat seperti magnesium, kalium, kalsium dan zat besi untuk memberi nutrien sepatutnya yang diperlukan rambut.

Minyak kelapa sangat berguna kepada mereka yang memiliki rambut rosak disebabkan strukturnya yang mudah putus.

Bagi mereka yang mengalami masalah kelemumur yang tidak stabil, minyak rosemary sangat berguna. Untuk mengurangkan masalah kelemumur, panaskan minyak rosemary dan sapukan dengan jari atau kapas pada kulit kepala. Kemudian, balut kepala dengan tuala panas untuk mendapat kesan terbaik.

Menggunakan minyak atau tidak pada rambut sering menjadi persoalan. Tradisi menunjukkan urutan menggunakan minyak sebenarnya dapat memberi manfaat terhadap kesihatan rambut.

Lantas tidak hairan sehingga ke hari ini, penggunaan minyak pada rambut masih dijadikan rejim penjagaan harian oleh sesetengah wanita misalnya masyarakat India.

Menurut pakar kulit kepala dan rambut, Dr Apoorva Shah, urutan menggunakan minyak membantu untuk merangsang pertumbuhan rambut kerana amalan itu dapat melancarkan peredaran darah sehingga ke bahagian akarnya.

Katanya, menggunakan minyak rambut yang berkhasiat tinggi boleh membantu mengurangkan masalah kulit kepala seperti kelemumur, alopecia dan kegatalan.

“Ia terkenal dengan lembapan dan minyak juga bermanfaat dalam menenangkan kulit kepala serta mengurangkan masalah hujung rambut bercabang.

“Kebanyakan pakar dalam penjagaan rambut bersetuju bahawa apa saja tekstur rambut yang dimiliki, ia memerlukan teknik urutan menggunakan sedikit minyak sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan kulit kepala dalam keadaan baik,” tambahnya mengenai kebaikan penggunaan minyak yang perlu dilakukan sebagai rejim penjagaan rambut bagi mengekalkan kesihatannya.

Jelasnya, bagi mereka yang mempunyai kulit kepala normal, minyak kelapa pilihan yang baik untuk digunakan pada bahagian rambut.

Untuk rambut kering pula, gunakan badam atau minyak kastor di bahagian kulit kepala kerana strukturnya yang pekat baik dalam pertumbuhan rambut manakala minyak badam kaya dengan vitamin E sesuai digunakan oleh mereka yang mengalami masalah penghidratan.

Ahli estetik dan kesihatan rambut serta kulit kepala, Dr Blossom Kocchar berkata, minyak rambut perlu digunakan dengan cara yang betul dalam usaha mendapatkan manfaatnya secara maksimum.

Menggunakan minyak untuk mengurut kulit kepala membantu merangsang dan mengaktifkan folikel rambut bagi menggalakkan pertumbuhannya yang lebih baik.


Fakta:

Lima langkah betul memakai minyak rambut


1. Sentiasa gunakan minyak yang suam. Ini kerana ia dapat membantu meresap hingga ke bahagian akar berbanding minyak yang berada pada suhu bilik. Justeru, minyak perlu dipanaskan di dalam mangkuk kecil menggunakan api pada tahap paling rendah sebelum disapu pada rambut.

2. Gunakan bebola kapas untuk menyapu minyak pada kulit kepala. Perlu diingat, minyak perlu disapu pada kulit kepala dan bukan pada rambut.

3. Gunakan jari untuk mengurut kulit kepala dalam gerakan membulat. Jangan tarik akar rambut ketika mengurut.

4. Balut tuala panas di kepala dan biarkan selama lapan atau 10 minit. Ulangi langkah sama sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali. Ia bukan saja dapat memberi manfaat kepada rambut tetapi membantu menenangkan badan dan minda.

5. Ketika membasuh, jangan letak syampu secara langsung pada kulit kepala. Campurkan syampu dengan air di dalam gelas dan tuangkan di atas kepala atau di tapak tangan. Urut kulit kepala walaupun ketika mencuci. Jangan lupa untuk sapukan perapi rambut selepas mencuci.


Perkara yang perlu dilakukan untuk mendapatkan rambut cantik:

  • Sapu minyak suam seming�gu sekali.
  • Biarkan minyak pada kulit kepala semalaman untuk memberi lembapan.
  • Jika mengalami masalah kutikel rosak, bungkus kepala dengan tuala yang distim.
  • Perkara yang tidak boleh dilakukan untuk mendapatkan rambut menawan:
  • Jangan biarkan rambut yang tidak dicuci disapu dengan minyak jika anda harus bekerja di bawah sinaran matahari atau debu. Ini kerana minyak akan menyebabkan habuk melekat dan sinaran matahari yang panas mengeringkan rambut lebih cepat.
  • Jangan sapu minyak secara berlebihan pada rambut yang panjang kerana akan membuatkan rambut menjadi lebih kering.
  • Elakkan mengurut dengan minyak jika kulit kepala anda kategori berminyak.
  • Tidak ada komentar:

    Posting Komentar