JIKA mahu menjaga kecantikan rambut, minyak antara sumber penting
yang perlu ada. Barangkali ramai yang ragu-ragu atau ‘geli’ menggunakan
minyak pada rambut, tetapi berzaman lamanya, minyak memiliki banyak
manfaat kepada mahkota penting buat wanita mahupun lelaki itu.
Membasuh rambut dan menyapu minyak antara langkah perlu bagi membantu
mengekalkan kesihatan serta kecantikan rambut secara semula jadi.
Terdapat pelbagai jenis minyak di pasaran menjelaskan manfaat setiap
jenis minyak terbabit. Apa pun sebelum memilih untuk membeli jenis
minyak diinginkan, pastikan anda membuat pemeriksaan terhadap syarikat
yang menjualnya serta khasiat yang ditawarkan.
Memiliki minyak yang baik untuk rambut bagaimanapun masih belum
mencukupi kerana ia juga harus disusuli dengan mengamalkan pengambilan
makanan berkhasiat.
Elakkan mengambil makanan ringan, makanan di dalam tin atau makanan
diproses kerana ia tidak membantu dalam melindungi rambut daripada
kerosakan.
Untuk mendapatkan rambut yang cantik dan kuat, antara langkah boleh
dilakukan adalah mengurut kulit kepala dengan minyak dan biarkan
semalaman. Kemudian, gunakan tuala yang distim untuk menutup rambut
selama setengah jam bagi melihat hasil yang baik.
Amalan langkah terbabit juga dapat membantu memiliki rambut berkilat dan berkilau dengan penjagaan rapi setiap hari.
Mungkin memakai minyak rambut setiap hari dianggap sukar oleh
sesetengah individu. Jika anda mengalami situasi berkenaan, cuba lakukan
sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk memiliki rambut cantik.
Namun, ia tidak meninggalkan perbezaan ketara pada rambut dan
seharusnya perlu diikuti dengan langkah mengurut bagi merangsang
peredaran darah pada kulit kepala.
Minyak rambut yang dipakai bukan saja membantu melindungi rambut
daripada sinaran ultraungu (UV) yang kuat dan panas, malah ia juga
memberikan rambut tampak bersinar.
Sesetengah minyak yang popular dan mempunyai banyak khasiat sesuai digunakan untuk kecantikan rambut dengan kebaikan kualitinya.
Misalnya, minyak jojoba sesuai untuk rambut kering bagi membantu
memberikan lembapan sempurna di samping membantu untuk melembutkan dan
berfungsi meluruskan rambut. Lazimnya minyak ini perlu digunakan sebelum
bersyampu.
Minyak zaitun pula dapat menguatkan dan menyuburkan rambut. Ia juga
dapat membantu mengurangkan tekanan dan menggalakkan pertumbuhan rambut
yang sihat.
Berbanding minyak kelapa yang dikatakan dapat membantu melicinkan
rambut, ia turut mengandungi khasiat seperti magnesium, kalium, kalsium
dan zat besi untuk memberi nutrien sepatutnya yang diperlukan rambut.
Minyak kelapa sangat berguna kepada mereka yang memiliki rambut rosak disebabkan strukturnya yang mudah putus.
Bagi mereka yang mengalami masalah kelemumur yang tidak stabil,
minyak rosemary sangat berguna. Untuk mengurangkan masalah kelemumur,
panaskan minyak rosemary dan sapukan dengan jari atau kapas pada kulit
kepala. Kemudian, balut kepala dengan tuala panas untuk mendapat kesan
terbaik.
Menggunakan minyak atau tidak pada rambut sering menjadi persoalan.
Tradisi menunjukkan urutan menggunakan minyak sebenarnya dapat memberi
manfaat terhadap kesihatan rambut.
Lantas tidak hairan sehingga ke hari ini, penggunaan minyak pada
rambut masih dijadikan rejim penjagaan harian oleh sesetengah wanita
misalnya masyarakat India.
Menurut pakar kulit kepala dan rambut, Dr Apoorva Shah, urutan
menggunakan minyak membantu untuk merangsang pertumbuhan rambut kerana
amalan itu dapat melancarkan peredaran darah sehingga ke bahagian
akarnya.
Katanya, menggunakan minyak rambut yang berkhasiat tinggi boleh
membantu mengurangkan masalah kulit kepala seperti kelemumur, alopecia
dan kegatalan.
“Ia terkenal dengan lembapan dan minyak juga bermanfaat dalam
menenangkan kulit kepala serta mengurangkan masalah hujung rambut
bercabang.
“Kebanyakan pakar dalam penjagaan rambut bersetuju bahawa apa saja
tekstur rambut yang dimiliki, ia memerlukan teknik urutan menggunakan
sedikit minyak sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan kulit
kepala dalam keadaan baik,” tambahnya mengenai kebaikan penggunaan
minyak yang perlu dilakukan sebagai rejim penjagaan rambut bagi
mengekalkan kesihatannya.
Jelasnya, bagi mereka yang mempunyai kulit kepala normal, minyak kelapa pilihan yang baik untuk digunakan pada bahagian rambut.
Untuk rambut kering pula, gunakan badam atau minyak kastor di
bahagian kulit kepala kerana strukturnya yang pekat baik dalam
pertumbuhan rambut manakala minyak badam kaya dengan vitamin E sesuai
digunakan oleh mereka yang mengalami masalah penghidratan.
Ahli estetik dan kesihatan rambut serta kulit kepala, Dr Blossom
Kocchar berkata, minyak rambut perlu digunakan dengan cara yang betul
dalam usaha mendapatkan manfaatnya secara maksimum.
Menggunakan minyak untuk mengurut kulit kepala membantu merangsang
dan mengaktifkan folikel rambut bagi menggalakkan pertumbuhannya yang
lebih baik.
Fakta:
Lima langkah betul memakai minyak rambut
1. Sentiasa gunakan minyak yang suam. Ini kerana ia dapat membantu
meresap hingga ke bahagian akar berbanding minyak yang berada pada suhu
bilik. Justeru, minyak perlu dipanaskan di dalam mangkuk kecil
menggunakan api pada tahap paling rendah sebelum disapu pada rambut.
2. Gunakan bebola kapas untuk menyapu minyak pada kulit kepala.
Perlu diingat, minyak perlu disapu pada kulit kepala dan bukan pada
rambut.
3. Gunakan jari untuk mengurut kulit kepala dalam gerakan membulat. Jangan tarik akar rambut ketika mengurut.
4. Balut tuala panas di kepala dan biarkan selama lapan atau 10
minit. Ulangi langkah sama sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali. Ia
bukan saja dapat memberi manfaat kepada rambut tetapi membantu
menenangkan badan dan minda.
5. Ketika membasuh, jangan letak syampu secara langsung pada kulit
kepala. Campurkan syampu dengan air di dalam gelas dan tuangkan di atas
kepala atau di tapak tangan. Urut kulit kepala walaupun ketika mencuci.
Jangan lupa untuk sapukan perapi rambut selepas mencuci.
Perkara yang perlu dilakukan untuk mendapatkan rambut cantik:
Sapu minyak suam seming�gu sekali.
Biarkan minyak pada kulit kepala semalaman untuk memberi lembapan.
Jika mengalami masalah kutikel rosak, bungkus kepala dengan tuala yang distim.
Perkara yang tidak boleh dilakukan untuk mendapatkan rambut menawan:
Jangan biarkan rambut yang tidak dicuci disapu dengan
minyak jika anda harus bekerja di bawah sinaran matahari atau debu. Ini
kerana minyak akan menyebabkan habuk melekat dan sinaran matahari yang
panas mengeringkan rambut lebih cepat.
Jangan sapu minyak secara berlebihan pada rambut yang panjang kerana akan membuatkan rambut menjadi lebih kering.
Elakkan mengurut dengan minyak jika kulit kepala anda kategori berminyak.